KUALA LUMPUR: Sektor perhotelan di Langkawi menerima 1,000 tempahan daripada pelancong domestik sebaik sahaja aktiviti untuk merentas negeri dan melancong dibenarkan kerajaan bermula 10 Jun ini.

Ketua Pegawai Ekesekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir menyifatkan perkembangan tersebut sebagai permulaan positif bagi industri pelancongan bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan impak pandemik COVID-19.




“Untuk makluman juga, pada jam 4 petang sehingga 4:45 petang tadi kita telah menerima 1,000 tempahan dalam masa sejam.

"Ini adalah rekod, semua hotel-hotel kita telah menerima 1,000 tempahan daripada semua pelancong domestik yang hendak ke Langkawi,” ujarnya.

Malah katanya, LTA juga menyasarkan satu juta pelancong domestik masuk ke Langkawi bermula 10 Jun sehingga 31 Disember nanti.

Namun katanya, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan lebih lanjut khususnya mengenai penggunaan fasiliti di hotel.